Monday, August 16, 2010

Tauhid Allah4

Sifat Tuhan seperti juga Zat-Nya, adalah unik, tidak boleh dihurai atau dipecahkan. Sifat Tuhan adalah sifat keesaan di mana kesemua sifat-Nya berkamil dalam keesaan, tidak berpisah dan tidak berbeza di antara satu dengan yang lain.

Perbeza...an pada sifat dibuat secara ilmiah bukan keadaan yang sebenar. Secara ilmiah disebutkan sifat Wujud, Hidup, Melihat dan sebagainya. Walaupun dipandang satu-satu namun keunikan sifat tersebut tetap ada.

Keunikan tersebut dipanggil juga kemutlakan. Ilmu Tuhan dikatakan Ilmu yang Mutlak. Ilmu Mutlak tidak mampu dihuraikan. Dalamnya berkumpul pengetahuan dari awal hingga ke akhirnya.

Ini bermakna Tuhan mengetahui tentang alam ini daripada sebelum adanya hinggalah kepada tanpa kesudahan. Tuhan mengetahui daripada azali hinggalah kepada abadi dan pengetahuan tersebut adalah pengetahuan secara keesaan, iaitu tatkala mengetahui yang azali itu jugalah Dia mengetahui yang abadi.

Tidak ada ruang atau jarak masa pada pengetahuan-Nya sekalipun pengetahuan itu mengenai perkara yang melalui ruang, masa dan zaman. Pada sisi Tuhan, kelmarin, hari ini dan esok adalah yang sama. Tidak ada masa, ruang dan jarak pada sisi-Nya.

Sifat Tuhan Berkata-kata juga Mutlak. Tuhan berkata-kata sejak keazalian sampai kepada keabadian tanpa satu patah perkataan dan tanpa suara. Manusia bercakap dalam satu tempuh menggunakan berpatah-patah perkataan dan ada mengeluarkan suara....

Tetapi Tuhan Berkata-kata dalam keadaan Kalam-Nya yang pertama dengan Kalam-Nya yang terakhir adalah Kalam yang sama, tidak berpisah, tidak berbeza dan tidak bersuara.

Begitu juga dengan sifat Tuhan yang lain. Sifat kemutlakan menyebabkan Tuhan berkuasa berhubung dengan makhluk-Nya tanpa berlaku pertembungan Wujud Tuhan dan sifat Tuhan dengan wujud makhluk dan sifat makhluk. Kemutlakan sifat Tuhan menyebabkan tidak mungkin makhluk termasuklah manusia bersekutu dengan perbuatan atau sifat Tuhan, apalagi Zat Tuhan.

Manusia yang membalingkan tombaknya perlu mengadakan beberapa pergerakan, tetapi perbuatan Tuhan tidak memerlukan pergerakan. Tidak mungkin manusia menggunakan perbuatan Tuhan dalam melakukan perbuatannya. Kebenaran ini tidak terjangkau oleh logik.

Hukum logik mengatakan tidak mungkin Tuhan Mengetahui benda-benda alam jika Ilmu-Nya tidak ada hubungan dengan benda-benda tersebut. Hukum logik juga mengatakan tidak mungkin Tuhan menciptakan alam jika Kuasa-Nya tidak ada hubungan dengan alam.

Hukum logik tidak mengerti bahawa pada tahap “Tuhan melampaui segala sesuatu” keabadian yang lalu (azali) dan keabadian yang akan datang (abadi) adalah satu masa yang sama, malah masa tidak wujud pada tahap ini. Itulah kemutlakan.

Pada tahap kemutlakan jika sifat Wujud dipakaikan kepada Tuhan maka ia adalah Wujud Mutlak yang tidak ada permulaan, tiada kesudahan, tidak menempati ruang dan tidak ada persaingan daripada yang tidak Mutlak.

0 comments:

Post a Comment