Monday, August 16, 2010

Tauhid Allah3

Penciptaan makhluk berhubung dengan sifat Tuhan. Sekiranya tidak ada sifat-sifat Tuhan yang menghijab atau menjadi perantaraan nescaya tidak akan ada penciptaan makhluk.

Sifat menghubungkan Pencipta dengan penciptaan. Hanya orang yang tidak... mengerti menolak peranan sifat lalu menghubungkan ciptaan terus kepada Dia Yang Maha Tinggi.

Jika Tuhan bukakan tajalli cahaya Zat-Nya Yang Hakiki tentu makhluk akan binasa, kewujudan akan hilang. Kenyataan yang pertama juga akan lenyap jika berhadapan dengan keagungan Allah Yang Maha Agung lagi Maha Perkasa.

Hubungan makhluk dengan Tuhan hanyalah sekadar layak dan mampu makhluk bertahan, iaitu hubungan yang dimisalkan atau hubungan melalui sifat-sifat-Nya yang tasybih, bukanlah hubungan dalam ertikata yang sebenarnya.

Alam memiliki kewujudan yang benar. Alam benar-benar wujud, bukan khayalan. Tetapi wujud alam berbeza dengan Wujud Tuhan, berbeza dengan sifat-sifat Tuhan yang diistilahkan sebagai tasybih apalagi yang tanzih.

Wujud alam diistilah sebagai w...ujud yang mungkin (mumkinul wujud) dan wujud sifat Tuhan diistilahkan sebagai Wujud yang wajib (Wajibul Wujud). Maksud Wajibul Wujud yang boleh dicapai oleh pemikiran dan kasyaf adalah Wajibul Wujud sifat. Zat Allah Yang Maha Tinggi tidak termasuk di dalam sempadan pemikiran dan penyaksian hati, tidak terlibat dengan wujud yang wajib, wujud yang mungkin dan wujud yang mustahil.

Sifat-sifat yang diistilahkan sebagai Wajibul Wujud adalah sifat tasybih. Dalam pandangan kasyaf sufi menyaksikan sifat tasybih sebagai berada satu tingkat di bawah daripada Zat. Sifat tanzih pula tidak terpisah dengan Zat kerana sifat tanzih adalah sifat-Nya Yang Hakiki yang tida ada beza dengan Zat-Nya.

Zat dan Sifat Hakiki adalah yang sama. Zat Hidup, Wujud, Melihat, Mendengar, Berkata-kata, Berkehendak dan Berkuasa dengan Zat-Nya sendiri bukan dengan sifat-sifat Hidup, Wujud, Melihat, Mendengar, Berkata-kata, Berkehendak dan Berkuasa.

Apa sahaja yang dengan Zat tidak berpisah dan tidak lain daripada Zat. Perpisahan dan perbezaan terjadi dalam ilmu dan penyaksian. Zat Yang Maha Suci menyatakan kesempurnaan-Nya melalui Sifat-sifat dan Nama-nama yang dinisbahkan kepada-Nya.

Sebab itulah Zat, Sifat dan asma’ dipandang sebagai berkedudukan berbeza-beza. Apa yang dipandang sebagai berbeza dengan Zat itu adalah bayangan kepada Yang Hakiki, diistilahkan sebagai penzahiran, pembukaan atau tajalli.

Kewujudan makhluk berhubung dengan bayangan dan diselimuti oleh hijab-hijab. Walaupun yang digunakan adalah istilah bayangan, tetapi bayangan itu adalah bayangan martabat ketuhanan, tidak sama dengan bayangan benda-benda alam.

Bayangan atau hijab ketuhanan berperanan di dalam kewujudan dan kesinambungan kewujudan makhluk. Hijab ketuhanan berhubung dengan alam maya dan kerana perhubungan tersebutlah manusia boleh mengenal Tuhan menurut kadar kehendak-Nya untuk dikenali. Orang yang kasyafnya sampai kepada hijab atau bayangan menyaksikan sifat sebagai berpisah dengan Zat.

Selepas melepasi peringkat bayangan atau hijab dia akan menyaksikan sifat tidak berpisah dengan Zat, malah sifat bukan lain daripada Zat. Sedikit sangat orang yang sampai kepada tahap ini, iaitu kepada Yang Hakiki. Pada Yang Hakiki Pendengaran-Nya adalah Penglihatan-Nya dan juga Percakapan-Nya.